ALKISAH maka tersebutlah perkataan raja Inderagiri Sutan Nara Singa, menjadi menantu marhum Melaka, masa kembali dari Melaka ke Inderagiri. Adapun pada ketika itu, segala Anak Tuan-tuan Inderagiri tiada dimalui oleh segala Anak Tuan-tuan Melaka.
APABILA segala Anak Tuan-tuan Melaka berjalan ke sana. sini, maka bertemu pada tempat yang lecah atau sungai, maka dipanggilnya Anak Tuan-tuan Inderagiri; maka ia minta dukung melalui lecah itu. Sudah seorang, seorang ia berdukung pada Anak Tuan-tuan Inderagiri; pada seorang Anak Tuan-tuan Inderagiri, dua tiga orang Anak Tuan-tuan Melaka, berganti-ganti ia berdukung.
Maka segala Anak Tuan-tuan Inderagiri pun berdatang sembah pada Sutan Nara Singa, “Tuanku, mari kita bermohon kembali ke Inderagiri, kerana tiada kuasalah patik sekalian duduk di Melaka ini, tiada sekali-kali diumpamakan oleh segala orang Melaka ini; dijadikannya seperti hambanya.”
Maka titah Sutan Nara Singa, “Baiklah.”
Maka Sutan Nara Singa pun masuk menghadap Sultan Mahmud Syah; pada ketika itu baginda sedang dihadap orang. Maka Sutan Nara Singa pun berdatang sembah ke bawah duli Sultan Mahmud.
Sembahnya, “Tuanku, jikalau ada kurnia Yang Dipertuan, patik hendak bermohon kembali ke Inderagiri, kerana sungguhpun ada negeri patik dianugerahi duli Yang Dipertuan, tiada patik melihat dia.” Maka tiada dilepas oleh Sultan Mahmud Syah; lalu baginda pun diam.
Setelah berapa lamanya, maka Sutan Nara Singa bermohon; dikatakan hendak membawa isteri baginda bermain, lalu berlepas kembali ke Inderagiri. Setelah datang ke Inderagiri, didapati baginda Maharaja Tuban, ayah saudara baginda sudah mati, tinggal anaknya Maharaja Isap, ialah jadi raja Inderagiri. Setelah Sultan Nara Singa datang, maka Maharaja Isap diincitkan oleh Tun Kecil dan Tun Bali, nama Orang Besar di Inderagiri. Maka Maharaja Isap lari ke Lingga.
Adapun anak raja Lingga bernama Maharaja Megat, anak Maharaja Terengganu; maka oleh Maharaja Megat diambilnya Maharaja Isap akan menantu. Setelah Maharaja Megat mati, Maharaja Isaplah menjadi raja di Lingga.
Berapa lama antaranya, maka Maharaja Isap pun mengadap ke Melaka. Maka oleh Sultan Mahmud Syah dianugerahi persalinan dengan selengkapnya.
Setelah Sutan Nara Singa mendengar Maharaja Isap mengadap ke Melaka, maka diserangnya Lingga; habis ditawannya anak isteri Maharaja Isap, dibawanya ke Inderagiri. Setelah mendengar Sutan Nara Singa melanggar Lingga, maka Maharaja Isap pun bermohonlah ke bawah duli Sultan Mahmud, lalu kembali ke Lingga; didapatinya segala anak bini pegawai Lingga seorang pun tiada ditawani oleh Sutan Nara Singa, hanya pihak
dirinya juga. Maka Maharaja Isap apabila keluar ke balai dihadap oleh segala hulubalangnya, mukanya dipalitnya dengan arang; serta ia duduk ditegur oleh pegawainya, katanya, “Muka kanda itu arang.”
Maka oleh Maharaja Isap disapunya.
Hari esoknya, apabila dihadap hulubalangnya, dibubuhnya juga mukanya arang; ditegur oleh hulubangnya. Maka kata Maharaja Isap, “Dapatkah empuk semua menghapuskan arang di muka hamba itu?”
Maka segala hulubalang Lingga pun tahulah akan maksud Maharaja Isap itu; masing-masing berdatang sembah, katanya, “Baiklah tuanku, patiklah membasuh arang di muka kanda dengan air Sungai Inderagiri. Bila tuanku titahkan patik semua kerjakan. ”
Maka kata Maharaja Isap, “Jikalau sudah sekata, sabarlah dahulu, kerana puteri Sultan Melaka ada di Inderagiri.
“Hatta berapa lamanya, maka Sutan Nara Singa pun mengadap ke Melaka dengan isterinya. Setelah didengar oleh Maharaja Isap, Sutan Nara Singa dengan isterinya ke Melaka itu, lalu ia berlengkap, setelah sudah lengkap, lalu diserangnya Inderagiri alah; segala anak gundik Sutan Nara Singa habis dibawanya ke Lingga.
Setelah itu lalu Maharaja Isap mengadap ke Melaka. Maka Sutan Nara Singa pun telah mendengar khabar Maharaja Isap melanggar Inderagiri, baru ia hendak masuk bermohon kepada Sultan Mahmud, Maharaja Isap pun datang mengadap; tatkala itu Sultan Mahmud sedang dihadap orang, akan membicarakan pekerjaan Maharaja Isap melanggar Inderagiri itu, Setelah datanglah Maharaja Isap, lalu ia menjunjung duli, dan lalu duduk pada tempatnya yang sediakala itu.
Maka Sultan Mahmud pun memandang Bendahara Seri Maharaja dengan isyarat; maka Bendahara pun bertanya kepada Maharaja Isap, “Iakah Maharaja Isap menyerang Inderagiri? Tiadakah kah Maharaja Isap ketahui, Sutan Nara Singa menantu ke bawah duli Yang Dipertuan?”
Maka sahut Maharaja Isap, “Sungguh tunku hamba tunku langgar Inderagiri; sedia hamba tunku ketahui Sutan Nara Singa menantu ke bawah duli Yang Maha Mulia; akan tetapi tatkala Sutan Nara Singa menyerang Lingga, menawani anak perempuan hamba tunku, tiada hamba
tunku derhaka ke bawah duli Yang Dipertuan Yang Maha Mulia; dan salah hamba tunku kepada Sutan Nara Singa, hamba tunku mengadap ke bawah duli di Melaka ini; masa Sutan Nara Singa keluar dari Melaka kembali ke Inderagiri, anak perempuan hamba tunku ditawaninya.
Itulah sebabnya maka Inderagiri hamba tunku langgar; itu pun setelah hamba tuanku dengar puteri Yang Dipertuan telah ke Melaka, melainkan hamba tunku mengharap ampun duli Yang Maha Mulia juga semata-mata.”Setelah Sultan Mahmud mendengar sembah Maharaja Isap itu, maka baginda pun berkenan mendengar dia. Maka oleh Sultan Mahmud Syah, antara keduanya dimuafakatkan; maka Sutan Nara Singa dan Maharaja Isap pun muafakatlah, seperti saudara lakunya.Setelah itu keduanya pun bermohonlah kepada Sultan Mahmud, masing-masing kembali ke negerinya. Sebab itulah raja Inderagiri dan raja Lingga itu berkeluarga daripada anak cucu Maharaja Isap.
(*)
Hal 215-217
A. Samad Ahmad, 2008, Sulalatussalatin, Kuala lumpur, Dewan Pustaka Malaysia.
Seperti disalin oleh Hardiansyah Inderagiri di akun media sosialnya.